Ucapan Pengerusi

Antara keunikan sistem epistemologi dalam tradisi keilmuan Islam yang tidak didapati dalam sistem epistemologi tradisi keilmuan lain ialah wujudnya sistem isnad si mana penyampaian sesuatu ilmu itu akan melalui proses mengenalpasti kesahihan penyampaian sebelumnya sehinggalah ke sumber asal ilmu tersebut. Kepentingan dan kelebihan sistem isnad ini ialah menjamin integriti dan autoriti ilmu tersebut dari sebarang bentuk penyelewangan dan pemalsuan. Di samping itu juga, proses penyampaian ilmu dalam tradisi keilmuan Islam bukan sekadar satu proses pemindahan kognitif dan intelektual tetapi ia juga melibatkan pembentukan spiritual dan kejiwaan.

Kefahaman bahawa proses penyampaian ilmu melibatkan kedua-dua peringkat intelektual dan spiritual tidak kedapatan dalam sistem epistemologi Barat semasa kerana mereka menolak kepercayaan terhadap hal-hal kerohanian. Justeru dalam tradisi keilmuan Islam holistik dan bersepadu, peranan seorang Syeikh adalah sebagai alim-murabbi (pengajar-pendidik) yang bertanggungjawab bukan sahaja meningkatkan ketajaman akal para pelajar malah juga menyucikan hati nurani mereka.

Melalui sistem isnad yang diterajui oleh Syeikh ini, akhirnya proses peningkatan akal-budi dan jiwa-rohani para pelajar akan menyampaikan mereka ke Hadrat Nabi Muhammad ﷺ sebagai sumber asal dan asli agama Islam. Pengerusi Kumpulan Pendidikan Sofa sebagai Alim-Murabbi bertanggungjawab memelihara dan mengembangkan tradisi unggul keilmuan Islam iaitu sistem isnad, sanad dan silisilah sebagai jalan penyelesaian kepada pelbagai penyelewangan, pelampauan dan pemalsuan yang berlaku dalam ajaran agama Islam hari ini khususnya yang berkaitan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jama'ah. Pada hakikatnya, inilah asal-usul amalan penyampaian Ijazah kepada para graduan dalam sistem pendidikan universiti yang diambil dari sistem syeikh dan murid dalam tradisi keilmuan Islam.

Selain dari amanah mempertahankan sistem isnad, Pengerusi juga memiliki kedudukan istimewa untuk mendidk adab para pelajar Institusi Sofa. Ia merupakan satu tanggungjawab yang tidak dilaksanakan dalam sistem pendidikan moden dewasa ini. Persoalan adab dan akhlak yang merupakan maksud penghataran Nabi Muhammad ﷺ menjadi keutamaan bagi SEG supaya dengannya akan lahir para graduan yang beradab mulia dan berakhlak terpuji.